Aku ingin melihat Zaid bin Thabit di antara seramai anak-anakku... Lahir semula pada kurun ini. Abad yang punah sepunahnya.
Siapa dia Zaid bin Thabit ,insan agung ini ?
Semangat tinggi membara
Pada tahun ke 2 H, Madinah sedang gawat menyediakan satu angkatan perang yang akan berangkat ke medan Badar. Rasulullah saw sendiri turun memeriksa saff buat kali terakhir. Tiba-tiba muncul seorang anak seusia 13 tahun, tampak cerdas dan sangat beradab hematnya, menggenggam sebilah padang yang panjangnya melebihi tingginya. Tanpa secuit rasa takut mahupun ragu-ragu, si anak itu melewati saff demi saff menghampiri kekasih hatinya, Rasulullah saw. Sebaik berdepan dengan Baginda saw, beliau pun menyuarakan isi hatinya...
" ...Saya bersedia untuk mati bersama anda, wahai Rasulullah! Izinkan saya bertolak untuk berjihad bersama memerangi musuh-musuh Allah di bawah panji-panjimu..."
Wahai... Rasulullah saw memandang anak itu dengan penuh kasihsayang seorang bapa.. Penuh kagum dengan keberaniannya. Baginda menyentuh menepuk-nepuknya bahunya simpati berbaur cinta memenuh..
" Pulanglah dahulu..."
Anak itu pulang kembali. Pedangnya menggeresek menyentuh tanah membentuk garisan berliku-liku... Bayangan hatinya yang rusuh tidak dapat menyertai saff mujahidin. Tidak lain kerana usianya yang sangat muda. Hanya kerana sebab yang satu itu Rasulullah saw yang mulia menolak lembut tangannya... Sedang jiwanya bergelora ingin mara ke medan perang.
Subhanallah... Lihatlah anak-anakku.. Generasi sahabat yang diwakili oleh seorang remaja seusiamu... sebaliknya 13 tahun pada zaman ini adalah cermin pantulan remaja kini yang kerjanya berbicara dengan tv, sentiasa berperang dengan games di benaknya.. atau penonton setia video melambak di mana-mana...
Tidak putus asa
Zaid tidak putus asa.
Apa sekalipun caranya, remaja Ansar ini tetap mencari helah dan jalan agar dapat menyumbang bakti kepada Islam, sekalipun dalam kemudaannya. Dan kali ini, beliau yakin Rasulullah saw pasti tidak akan menolaknya hanya kerana faktor usianya. Dibimbing tangan bondanya, Nuwar, dan beberapa ahli keluarga yang lain turut mengiringi menemui Junjungan saw ...
".. Wahai Rasulullah! Ini anak kami, Zaid bin Thabit. Dia telah menghafaz 17 surah dari kitab al Quran. Bacaannya betul sesuai dengan apa yang diturunkan Allah kepadamu. Di samping itu dia pandai pula menulis membaca tulisan Arab. Tulisannya indah dan bacannya lancar. Dia ingin berbakti kepadamu dengan bakat yang ada padanya dan ingin pula sentiasa mendampingimu. Jika kamu sudi, silalah mendengar bacaannya.."
Rasulullah saw mendengar bacaan Zaid. Aduhai... ternyata sangat bagus dan fasih. Kalimah-kalimah al Quran bagaikan berkelip-kelip di kedua bibirnya baj bintang-bintang diwajah langit. Terpancar kegembiraan pada airmuka Rasulullah saw lalu bersabda :
"... Hai Zaid.. Pelajarilah Bahasa Ibrani. Saya sangat tidak mempercayai mereka ( Yahudi ).."
Zaid pun mempelajari bahasa Ibrani dengan tekun dan mula menguasainya dengan baik sehingga beliau dilantik sebagai setiausaha Rasulullah saw apabila baginda berurusan dengan orang-orang Yahudi. Tidak lama kemudian, Zaid mempelajari bahasa Suryani pula.
Dalam usia belasan tahun, Zaid adalah setiausaha pertama Rasulullah saw...
Pesan bonda
Jadilah seperti Zaid ini. Bagai bintang di dada langit ...bagai mentari di tengahari, bagai rembulan di malam sepi...
Friday, 19 March 2010
Subscribe to:
Comments (Atom)